Feb 20, 2008

Ketika Azan Bergema..

Membina Masjid Nabi

Selepas memasuki Madinah semenjak berhijrah dari Mekah, Rasulullah telah mendirikan masjid sebagai tempat untuk mengembangkan syiar Islam. Pelbagai perkara dan faedah telah didapati hasil dari pembinaan masjid ini. Selain untuk mendirikan solat fardhu 5 waktu yang menghubungkan antara Pencipta dan hambaNya, masjid turut menjadi tempat pengerat dan perhimpunan antara kaum Muslimin yang terdiri dari kalangan Muhajirin dan Ansar. Disitulah bibit-bibit ukhuwwah di atas dasar akidah dan keimanan kepada Allah yang Esa bermula. Masjid ini turut dijadikan pusat penyebaran ilmu Islam dimana Rasulullah merupakan guru dan pengajar manakala murid-muridnya terdiri daripada para sahabat yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan.

Masjid turut dijadikan institusi kehakiman dan mahkamah pada masa itu. Di situlah Rasulullah dan para sahabat menyelesaikan pelbagai masalah yang menimpa masyarakat di Madinah. Bermula dengan pertelagahan dan diakhiri dengan kasih sayang kerana undang-undang yang digunakan adalah hukum Allah yang Maha Adil. Selain itu, ia turut dijadikan tempat Rasulullah bermesyuarat atau Syura. Disitulah pandangan-pandangan yang bernas dikongsi dan semua pihak yang terlibat bebas bersuara untuk memastikan keadilan dan kesyumulan Islam dapat dikembangkan di Jazirah Arab dan dunia amnya.

Sebelum menuju ke medan perang, para panglima dan tentera Allah akan berkumpul di masjid ini juga. Di situ, panglima-panglima perang akan diberikan panji-panji Islam dan diberikan nasihat dan pedoman oleh Rasulullah sendiri. Antara fungsi lain masjid di zaman Rasulullah ialah sebagai tempat menyambut rombongan, mengambil bai’ah dan tempat perlindungan kepada golongan yang miskin dan tiada kemampuan harta.

Tapak masjid

Asal tapak masjid nabi ini ialah tempat unta tunggangan baginda berhenti. Ia merupakan tapak mengeringkan tamar yang dimiliki oleh 2 orang anak yatim iaitu, Suhail dan Sahl. Mereka merupakan anak peliharaan As’ad Bin Zurarah. Rasulullah menawarkan kepada mereka wang untuk tanah tersebut, tetapi mereka menolaknya dengan berkata:
Bahkan kami berikan kepada kamu wahai Rasulullah. Akhirnya, Rasulullah enggan menerimanya dan membeli tanah tersebut dengan bayaran. Kemudian baginda mula menimbuskan tanah dengan dibantu para sahabat sambil mendendangkan:

Ya Allah sesungguhnya ganjaran ialah ganjaran akhirat,
Oleh itu rahmatilah Muhajirin dan Ansar

Sewaktu sahabat melihat kesungguhan baginda membina masjid, salah seorang dari mereka mendeklamasikan:

Sekiranya kami duduk tidak berbuat sesuatu sedang Rasul berkerja,
Itulah kerja sesat daripada kami

Binaan masjid tersebut tidaklah seindah dan selengkap masjid yang kita dapati pada zaman ini. Tiang pintu dibuat dari batu manakala bumbungnya daripada pelepah tamar. Tiangnya pula dari batang tamar. Ketinggian masjid tersebut hanyalah tinggi sedikit dari ketinggian manusia. Qiblatnya dibina di utara masjid menghadap ke Baitul Maqdis. Masjid ini berlantaikan batuan kecil yang ditaburalaskan di atasnya. Dua buah bilik dibina ditepinya. Satu untuk Saudah Bt Zam’ah dan satu lagi milik Aisyah. Ketika ini baginda baru mengahwini mereka berdua.

Dari pembinaan masjid inilah ramai tokoh-tokoh telah dilahirkan, generasi penegak Islam yang gemilang, tokoh yang mempunyai keperibadian yang tinggi sehingga dihormati oleh kawan dan disegani lawan. Dimanakah fungsi masjid kita sekarang? Adakah sehebat masjid nabi ini?

Permulaan azan

Allah mewajibkan solat ke atas umat Muhammad agar mereka tidak lalai dalam menjalani kehidupan sehari-harian. Dengan itu mereka akan menghidupkan apa yang disuruh Allah dan meninggalkan segala dilarang hasil dari kekhusyukan dari solat mereka.

“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar” [Al-Ankabut: 45]

Selain itu, Allah turut mengganjarkan kepada mereka yang bersolat jemaah dengan pahala yang lebih dari solat bersendirian. Dengan solat berjemaah ini, disiplin mereka akan lebih terjaga. Perbincangan dan segala urusan dapat diselesaikan sekiranya mereka berkumpul dan bertemu di masjid pada setiap kali solat. Kemesraan dan ikatan hati-hati mereka juga semakin kuat. Oleh itu, untuk menyedarkan orang ramai pada setiap kali masuk solat, satu tindakan perlu diambil supaya mereka tidak tertinggal bersolat secara jemaah di masjid. Maka, nabi telah berbincang dengan para sahabat tentang perkara yang perlu dilakukan untuk tujuan itu.

Sebahagian mereka mencadangkan: Bendera dinaikkan apabila tiba waktu solat supaya orang ramai dapat melihatnya. Namun, ia tidak memberi manfaat kepada orang yang sedang tidur.

Berkata sahabat lain: Kita nyalakan api di tebing tinggi. Tetapi cadangan ini turut ditolak.

Cadangan lain: Menggunakan bunyi tiupan trumpet. Ini adalah cara yang digunakan oleh Yahudi. Oleh itu, Nabi tidak menyukainya kerana tidak mahu merupai Yahudi dalam apa jua amalan mereka.

Daripada Abdullah bin Zaid, berkata dia:

Rasulullah SAW berniat menggunakan trumpet. Baginda mengarahkan untuk membuat kerantung kayu. Oleh itu, ia pun diukir. Abdullah bin Zaid bermimpi, dan dia menceritakannya:
“Saya melihat seorang lelaki memakai dua pakaian hijau membawa kerantung kayu. Saya berkata kepadanya: Wahai hamba Allah! Kamu menjual kerantung kayu? Dia bertanya: Apa kamu mahu lakukan dengannya? Saya berkata: Untuk memanggil orang menunaikan sembahyang. Dia berkata: Apakah kamu mahu aku tunjukkan cara yang lebih baik dari itu? Saya bertanya: Apa dia? Dia berkata: Kamu ucapkan: Allah Maha Besar (2x). Aku naik saksi Muhammad adalah pesuruh Allah (2x), Marlah bersembahyang (2x), Marilah menuju kejayaan (2x), Allah Maha Besar (2x), Tiada Tuhan selain Allah.

Perawi berkata: Lalu Abdullah pun keluar sehingga bertemu Rasulullah. Beliau memberitahu baginda apa yang dilihatnya dalam mimpi tersebut. Bersabda Nabi Muhammad SAW: “ Sesungguhnya sahabat kamu ini telah bermimpi. Keluarlah bersama Bilal melaungkannya. Sesungguhnya suaranya lebih merdu berbanding kamu." Lalu beliau menyampaikan perintah nabi itu kepada Bilal dan Bilal melaungkannya dengan panduan Abdullah. Kemudian, Umar Al-Khattab mendengar laungan itu seraya berkata: “Demi Allah, saya telah bermimpi sebagaimana dia (Abdullah bin Zaid) bermimpi.”

Bilal merupakan antara dua orang Muazzin ketika itu. Seorang lagi ialah Abdullah Bin Ummi Maktum. Bilal telah menambah ‘ solat itu lebih baik daripada tidur’ dalam azan Subuh dan Rasulullah memperakui tindakan itu. Begitulah kisah laungan azan yang kita sering dengari sebanyak lima kali sehari semalam. Moga entri ini bermanfaat untuk semua. Semoga hati-hati kita dilembutkan untuk menjaga solat berjemaah di awal waktu setiap hari. Allahumma Amin.

Allahua’lam.

Rujukan dan ringkasan dari: Rihab Fil Islam

Nota: Balik dari sekolah tadi masa tengah jalan-jalan pas gi bank, terdengar azan Asar. Terfikir pula nak masukkan tentang sejarah bagaimana azan bermula. Pas baca-baca sikit tentang azan dan buat draft, inilah hasilnya yang dapat dikongsikan dengan kamu semua. Minggu depan baru update sbb hujung minggu ni out-station. Pembangunan jiwa bermula..

1 mesej:

Farah Nazneen said...

writer's block.
(merujuk kepada diri sendiri)

harap maklum.