Assalamualaikum.
Kali ini saya memilih untuk memasukkan kisah dari kitab Fi Rihab Islam. Tidak semua cerita yang akan saya masukkan ke dalam entri ini. Cuma memetik beberapa bahagian penting sahaja.
Persediaan Nabi untuk berhijrah
Penghijrahan kaum Muhajirin dari Mekah secara berkumpulan mahupun individu secara besar-besaran selepas diberi keizinan oleh Rasulullah menyebabkan Kota Mekah hamper kosong daripada orang Islam. Akibat dari kesan ini, orang-orang kafir Quraisy yang sememangnya dengki dan iri hati dengan penganut Islam merasakan bahawa orang-orang Islam telah mempunyai negeri untuk mereka menyebarkan agama yang suci ini. Sebelum hijrah nabi ke Madinah, baginda telah menyusun beberapa strategi untuk melancarkan dan mengurangkan risiko perjalanan ketika berhijrah nanti. Antara strategi yang tela dirancang baginda:
Memilih teman dan sahabat dalam perjalanan iaitu Abu Bakar r.a.
Pernah suatu hari Abu Bakar bertemu dengan baginda untuk berhijrah tetapi telah dihalang oleh nabi. Baginda bersabda:
“Jangan gopoh. Semoga Allah menjadikan untukmu seorang teman”
Berkat kesabaran dan ketabahan Abu Bakar beliau telah dipilih nabi untuk berhijrah bersama-sama baginda.
Menyediakan tunggangan ke Madinah
Menyediakan penunjuk jalan yang pakar.
Baginda telah memilih Abdullah Bin Uraiqat dari Bani ad-Dailam dan mengupahnya. Ketika itu beliau masih lagi menganut agama ajaran kaumnya dan nabi mendapat jaminan daripadanya. Mereka telah berjanji untuk bertemu di Gua Tsur.
Tempat bersembunyi adalah Gua Tsur.
Menggantikan Ali binAbi Talib di tempat tidur baginda untuk mengelirukan kaum Quraisy
Memilih pembawa berita dari Mekah, Abdullah bin Abu Bakar.
Menyediakan orang yang akan membawa makanan dan menghapuskan tapak kaki orang yang datang ke Gua Tsur.
Konspirasi ke atas nabi
Kaum kafir sememangnya sangat dengki dan iri hati dengan perkembangan dakwah nabi Muhammad SAW. Dakwah nabi telah mula diterima oleh golongan miskin dan atasan. Beberapa sahabat-sahabat besar telahpun mula memeluk Islam dengan hidayah dan rahmat yang di berikan oleh Allah Taala. Akibat kedengkian dan rasa tidak senang ini, beberapa pakatan dan konspirasi telah dilakukan demi untuk memastikan dakwah Islam serta nabi Muhammad lenyap dari muka bumi Allah. Tambahan pula, pada ketika itu, nabi masih lagi berada di Mekah. Justeru, mudahlah bagi pakatan ini untuk melaksanakan pakatan mereka.
Firman Allah Taala dalam Surah Saff ayat 8:
“ Mereka sentiasa berusaha untuk memadamkan cahaya Allah (agama Allah) dengan mulut-mulut mereka, sedangkan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya sekalipun orang-orang kafir tidak suke (yang sedemikian)”
Dengan yang demikian, satu perbincangan telah diadakan di Dar an-Nadwah dan mereka berbincanguntuk menghapuskan ajaran ini. Mereka saling bertukar-tukar pandangan.
Pertama: Kurungkan baginda di dalam sangkar besi dan tunggu sehingga baginda mati. Ini adalah seperti cara-cara yang mereka lakukan terhadap penyair-penyair terdahulu.
Pandangan ini ditolak oleh mereka kerana sudah tentulah berita kematian nabi akan sampai ke pengetahuan sahabat-sahabat dan mereka akan bersatu dan menentang pembesar kafir Quraisy.
Kedua: Usir dan buang negeri keluar dari Mekah
Seperti cadangan pertama, cadangan ini turut ditolak oleh ahli mesyuarat.
Mereka berkata: Ini bukan pendapat yang baik untuk kamu.Tidakkah kamu tengok percakapannya yang baik, pertuturan yang manis dan dia dapat menawan hati dengan ajaran yang dibawanya. Jika kamu melakukan sedemikian, kamu pasti tidak dapat menjamin orang ramai daripada mengikutinya. Kemudian dia membawa mereka kepada kamu sehinggalah dia dan mereka menginjak kamu dari negeri kamu ini. Lalu dia mengambil tampuk pimpinan kamu dan memperlakukan kamu sesuka hati.
Ketiga: Membunuh nabi
Lalu Abu Jahal bersuara: Demi Allah, saya mempunyai cadangan yang kamu belum pernah melakukannya. Mereka bertanya: Apakah dia wahai Abu al-Hakim.
Dia menjawab: Kita ambil daripada setiap kabilah seorang pemuda yang gagah, berketurunan mulia dan dihormati serta sasa. Berikan kepada mereka sebilah pedang yang tajam. Kemudian, mereka pergi kepada Muhammad, lalu memenggalnya dengan serentak, umpama pukulan seorang sahaja. Mereka membunuhnya dan kita memperoleh kerehatan. Tuntutan darah itu akan terpecah kepada semua kabilah. Oleh itu, Bani Abdul Manaf tidak dapat memerangi mereka semua. Mereka akan rela membayar diat kepada kita.
Mereka bersepakat untuk menerima dan melaksanakan cadangan ini. Kebatilan mahu menundukkan kebenaran dengan senjata tetapi ketetapan Allah itu lebih dari segala-galanya. Firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 21:
“ Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”
Pekung konspirasi pecah
“Dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka),kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya” [Surah Al-Anfal: 30]
Ibnu Ishak berkata antara ayat yang disepakati tentang pembongkaran konspirasi itu ialah firman Allah dalam Surah Anfal:30 dan at-Thur:30.
“Mereka menuduh Muhammad dengan yang bukan-bukan, bahkan mereka mengatakan Muhammad itu seorang penyair yang kami tunggu-tunggu saat kebinasaannya” [At-Thur:30]
Perubahan diri
Ini adalah antara sebahagian dari yang saya sempat petik dari buku Rihab ini. Beberapa perkara penting yang saya mahu kongsikan. Pertama tentang penghijrahan nabi Muhammad ke Madinah. Dalam kisah tersebut, jelas menunjukkan bahwa nabi berusaha dan kemudian bertawakkal kepada Allah. Baginda tidak menyerahkan bulat-bulat urusan hijrah kepada Allah, sebaliknya baginda merancang dengan teliti untuk melaksanakan rancangan itu. Mudah sahaja Allah untuk membantu nabi dengan kekuasaannya. Tetapi itu bukan pilihan nabi kerana beliau menunjukkan kepada kita tentang konsep usaha dan kemudian barulah bertawakkal.
Begitulah juga dengan kehidupan harian kita, perlunya kepada perancangan. Orang yang gagal merancang, sebenarnya sedang merancang untuk gagal. Perlunya kepada peracangan ini untuk mengelakkan kita daripada melakukan perkara-perkara yang melalaikan. Lihat sahaja orang-orang disekeliling anda yang berjaya di dalam pelajaran dan kehidupan, adakah mereka golongan yang membazirkan masa dengan sia-sia? Ataupun mereka mengisikan masa mereka untuk melakukan perkara berfaedah? Sudah tentunya jawapan kedua menjadi jawapan kepada pertanyaan ini. Mereka faham tentang nilai waktu. Nilai nikmat masa yan Allah anugerahkan. Justeru, jika hari ini kita masih lagi belum merancang perjalanan kehidupan harian mahupun jangka masa panjang, marilah berbuat demikian dengan segera. Takut-takut nanti kita tak sempat merancang waktu kita dan melemparkan kita ke lembah binasa. Dan lebih ditakuti lagi, kita dijemput Ilahi sebelum sempat melakukan apa-apa dalam kehidupan ini….
Allahua’lam.
Rujukan dan diringkaskan dari Fi Rihab Islam
Nota: Sekarang dalam Mode menyibukkan diri dengan perkara berfaedah. Kelas tusyen Patho pun dah start. Jadual hidup pun sudah teratur selepas cuti lalu. Masa untuk blogging terhad. Maaf atas kelewatan update. Moga Allah permudah urusan kita.
Feb 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 mesej:
Post a Comment