Nov 25, 2007

Untukmu Hati 2

Adakah anda berusaha untuk melakukan sesuatu amalan bertepatan dengan sunnah Rasullullah?
_______________________________________________

:: Muhasabah::

[Jauhi perkara sia-sia yang boleh menjauhkan diri anda daripada mengingati pemutus kelazatan,iaitu KEMATIAN]

Taubat Kepada Allah

Taubat Kepada Allah

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur dirafa’kan kehadrat Ilahi, seinfiniti kesyukuran diucapkan di atas segala Rahmat dan naungan yang diberikan olehNya. Selawat serta salam kepada baginda Nabi Muhammad SAW, serta para sahabat, ahli keluarga serta mereka yang mengikuti sirah perjuangan baginda dalam menegakkan agama Allah, iaitu agama Islam.

Alhamdulillah, sekali lagi saya diberi kesempatan masa untuk menulis artikel yang bertajuk “Taubat kepada Allah”. Artikel ini ialah ringkasan dari buku berjudul”Hatta Yughayyiru Ma Bianfusihim” karangan Amru Khalid.

Kita seringkali diingatkan untuk bertaubat dan beristighfar apabila melakukan kesalahan samada secara terang atau bersendirian. Kadangkala, ketika kita asyik dengan keseronokan nikmat dunia ini, kita sering terlupa dan terbabas dari landasan sebenar yang ditetapkan oleh Islam. Dan di situlah pentingnya peringatan yang sentiasa mengingatkan kita untuk kembali kepada Allah.

Mengapa perlu bertaubat?

Persoalan ini seringkali diutarakan oleh pelbagai pihak samada yang berpegang teguh kepada agama atau mereka yang juga mengaku Islam, tetapi ‘terbabas’ dari landasan sebenar.
Di sini, kita perlu melihat kepada suasana sekeliling kita supaya kita dapat mengetahui apakah maksud tersirat di sebalik peringatan untuk kita sentiasa dan segera bertaubat.
Tempat serta suasana yang kita tinggal sekarang ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa sebenarnya umat ini telah jauh serta lupa bahawa mereka adalah makhluk yang tertakluk serta terikat di bawah kekuasan yang Maha Esa. Pelbagai peperangan, kerosakan serta pelbagai lagi kemusnahan semakin berleluasa disebabkan ‘tangan’ manusia yang kononnya inginkan kemodenan dan kemajuan, tetapi pada hakikatnya bertuhankan hawa nafsu. Kita dapat melihat syabab-syabab Islam yang jelas telah terpengaruh dengan budaya-budaya kuning samada dari segi pergaulan, pemakaian serta pelbagai lagi budaya yang jelas merosakkan martabat Islam sebagai agama suci dan mulia. Itu tidak termasuk lagi dengan peristiwa pembuangan bayi-bayi, pembunuhan,rogol,penaklukan serta pelbagai macam lagi jenayah….Maka, di sinilah pentingnya kepada kita untuk bertaubat memohon keampunan serta kembali kepadaNya..dari sinilah bermulalah titik tolak dalam diri setiap individu untuk mengubah dirinya kepada yang lebih baik seterusnya menimbulkan kesedaran dalam dirinya untuk mengubah masyarakat yang telah ‘ternoda dek dosa-dosa yang mereka lakukan’.

Dan di sini, pengarang buku ini secara terus terang menyatakan bahawa:"Aku takut jika sekiranya Allah Taala menghalalkan peperangan serta pelbagai lagi kerosakan disebabkan perbuatan serta dosa-dosa yang aku lakukan terhadapNya.”
Cuba anda bayangkan sekiranya dosa-dosa kecil yang kita lakukan itu tidakkah ia apabila dihimpunkan mampu untuk menandingi dosa-dosa besar yang kita lakukan..? Dan dosa itu baru dilakukan oleh seorang..Cuba bayangkan apabila dosa itu dilakukan oleh setiap jiwa Muslim?? Tidak mustahilkah Allah Taala akan menurunkan bala disebabkan dosa kita semua?? Muhasabahlah kembali apa yang telah kita lakukan..

Siapa antara kita yang suci dari dosa?

Bayangkan ketika kita bangun di malam hari untuk memohon keampunan dari Allah Taala dengan mengadakan Qiamullail..dan kita itu kita berdoa: [Ya Allah..aku memohon dan mengharapkan agar Kau hapuskan segala dosa yang aku lakukan..aku bertaubat kepadaMu yang Allah dengan taubat nasuha..terimalah taubatku Ya Allah….]
Adakah Allah Taala tidak akan menghapuskan dosa-dosa kalian? Bukankah Allah itu Maha Pengasih lagi Penyayang terhadap hambaNya? Maka, yakinlah bahawa setiap amalan serta taubat yang kita lakukan tidak akan disia-siakan oleh Allah Taala..(konsep ini ialah konsep Siqoh Billah..sila rujuk artikel sebelum ini…) Perlulah kita sedar bahawa tiada antara manusia yang Maksum kecuali Nabi Muhammad SAW…Mengapakah kita masih perlu lagi bertangguh-tangguh untuk bertaubat sedangkan Allah Taala sentiasa mahu untuk mengampunkan serta memaafkan dosa-dosa kita?

Marilah kita sama-sama berazam untuk tidak kembali kepada dosa-dosa yang telah kita lakukan. Katakanlah:”Ya Allah, kami berazam pada hari ini untuk bertaubat kepadaMu,kami berazam untuk memperbanyakkan solat Tahajjud serta Qiamullail, bukalah pintu hati kami untuk kembali ke jalan yang benar dan kesempitan dan kemusnahan itu terlerai dari membelenggu umat-umat Islam..”
Bayangkanlah jika semua umat Islam berazam untuk bertaubat dan kembali kepada Allah, nescaya kehidupan ini akan kembali aman dah sejahtera..!

Terdapat segelintir dari manusia yang merasakan bahawa dosa yang mereka lakukan terhadap Allah Taala itu hanyalah kecil dan ringan dan sudah pasti akan diampunkan..Namun, tidakkah kita lupa bahawa setiap dosa-dosa kecil itu akan terhimpun menjadi banyak sekiranya kita tidak segera bertaubat? Pepatah Melayu juga ada mengatakan ‘Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.’ Bukankah begitu wahai sahabat-sahabatku??

Allah Taala berfirman:

‘..dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja, padahal disisi Allah ia adalah besar’
[Surah An-Nur:15]

Janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah Taala.

‘Katakanlah: Hai hamba-hambaku yang melampau batas terhadap terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’ [Az-Zumar:53]
Dan mengetahui bahawa Rasullullah merasa amat gembira dengan turunnya ayat ini kerana telah jelas bahawa Allah Taaala akan mengampunkan semua dosa hambaNya yang memohon keampunan kepadaNya.
Dalil-dalil lain yang menunjukkan sifat pengasih dan pengampun Allah Taala terhadap hambaNya yang bertaubat.

‘Tidakkah mereka mengetahui,bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hambaNya dan menerima zakat, dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. [At-Taubah:104]

‘….sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri’ [Al-Baqarah:222]

‘Yang mengampuni dosa dan menerima taubat' [Al-Ghafir:3]

Orang yang menzalimi diri mereka...


Marilah kita sama-sama menghayati ayat dari firman Allah Taala:

‘Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim’ [Al-Hujurat:11]

Mereka ini telah zalim kepada siapa? Tentulah kepada diri mereka kerana keangkuhan serta keengganan mereka untuk bertaubat. Dan Allah Taala telah membahagikan manusia kepada 2 golongan: Golongan yang bertaubat dan golongan yang ZALIM. Tiada yang ketiga bagi kedua-duanya..

‘Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung’ [An-Nur:31]

Rasullullah SAW diriwayatkan sentiasa beristighfar kepada Allah Taala sebanyak 70 kali siang dan malam. Malah ada pendapat yang mengatakan lebih dari 100kali sehari. Lihatlah, bagaimana seorang lelaki yang dipilih oleh Allah sebagai utusan yang membawa risalah Islam, yang maksum dari sebarang kesalahan,dan telah dijanjikan syurga, tetapi tetap jua memohon keampunan dari tuhannya..Bagaimana pula dengan kita yang sudahlah tidak maksum, sering terlupa untuk beristighfar kepada Allah, serta banyak pula melakukan maksiat serta dosa..Adakah layak bagi kita untuk mendapat syurga Allah sekiranya kita terus bergelumang dengan dosa dan maksiat tanpa bertaubat kepadaNya ??

‘Kamu adalah umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar….’ [Ali-Imran:110]

Sedarlah kita bahawa kita adalah sekumpulan manusia yang dipilih oleh Allah untuk menegakkan syariat Allah melalui bidang perubatan. Adakah kita mahu untuk menjadi doktor yang bergelumang dengan maksiat atau adakah kita ingin menjadi manusia yang mulia di sisi Allah? Tidakkah kita melihat bahawa kita adalah golongan yang Allah Taala tujukan di dalam ayat ini?Adakah kita ini manusia yang tergolong antara mereka yang dikasihi oleh Allah?

Syarat-syarat taubat
1- Menyesal terhadap maksiat yang dilakukan
2- Berhenti dari melakukan maksiat
3- Berjanji tidak akan mengulanginya lagi

Sesungguhnya ketahuilah bahawa Rahmat Allah sangat luas dan Allah Taala akan mengurniakan rahmatNya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Maka, saya menyeru sahabat-sahabat pembaca artikel ini untuk kita sama-sama kembali bertaubat kepada Allah serta mengajak serta menyampaikan ilmu yang kita perolehi ini kepada sahabat-sahabat lain. Mudah-mudahan dengan usaha kita yang tidak seberapa ini diterima sebagai amal ibadah disisi Allah dan seterusnya menjadi pemberat neraca timbangan kita apabila dihisab di padang Mahsyar kelak.InshaAllah.

Wallahua’lam.

SyaBAB
* artikel diambil dari blog friendser saya


Nov 23, 2007

Kashfi 1

::Scene 1::

Bapa : Kahwin ni 6 bulan je rase seronok...lepas 6 bulan tu dah takde yang seronok..macam-macam masalah datang
Anak : oooo..kalau camtu saya tak boleh kahwin lagi la sekarang..

Moral: Berkahwin bukan semata-mata untuk memuaskan nafsu zahir dan batin..tetapi ia adalah segala-galanya tentang pengorbanan dan tanggungjawab..
___________________________________________
::Scene 2::

Abang: Adek, dah besar nanti nak keje ape? adek nak sekolah kat mana?
Adik: Nanti dah besar adek nak sekola kat sekola abang dulu..nak jadi macam abang.... Bile dah besar nanti adek nak kerja macam abang...jadi macam abang..

Moral: Orang yang dekat dengan anda sentiasa memerhatikan perlakuan, sikap dan akhlak anda..maka, berakhlak dan bergaullah dengan orang disekeliling anda dengan baik
___________________________________________

::Best of Medicine::

"Rheumatic Fever licks the joint but bites the Heart"
_______________________________________
::Muhasabah::

[JAUHI BURUK SANGKA & HASAD DENGKI]
Jauhi diri anda dari sifat-sifat Mazmumah. Sesungguhnya, setiap manusia itu tidak tahu dimana dan bila nyawanya akan diambil..Maka beringatlah selalu..

Allahua'lam

Untukmu Hati

Untukmu Hati 1

Adakah anda menghadirkan niat setiap kali mengerjakan ketaatan kepada Allah Taala?

Hatiku MilikMu

Segala puji dan syukur buat tuhan sekalian alam. Dalam pos kali ini, saya ingin berkongsi beberapa pengalaman dan motivasi yang diambil hasil perbincangan dan perjumpaan mingguan dengan beberapa orang rakan seperjuangan mudah-mudahan kita ditetapkan hati di atas jalan ini.

Manusia, masalah, halangan dan cabaran

Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi 2 pengalaman cara hidup iaitu suka atau duka. Malahan, jika di ambil dari sudut yang positif, sebenarnya setiap pengalaman duka juga boleh dinilai sebagai pengalaman manis. Bergantung kepada individu tersebut.

Dan ingatlah bahawa Allah Taala tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia melainkan ada hikmah di sebaliknya. Setiap insan akan menghadapi cabaran dan masalah. Yang membezakan setiap individu itu dengan individu lain adalah cara dia menghadapi masalah tersebut. Sesetengah orang menganggap masalah kecil yang menimpanya sebagai besar dan dia tidak dapat melaluinya dengan senang. Sesetengah orang pula menganggap masalah besar yang dihadapinya sebagai kecil dan dia berjaya melaluinya dengan jaya. Sebagai seorang Muslim yang beriman, Sepatutnya kita menghadapi masalah-masalah tersebut dengan hati yang tenang dan tidak tergopoh-gapah. Muslim yang berjaya dengan cemerlang adalah Muslim yang menghadapi masalah, bukannya lari dari masalah. Dan perlu diingatkan di sini, setiap manusia yang lari dari masalah dan cabaran adalah manusia yang lupa kepada diri sendiri. Dan ketahuilah bahwa masalah akan sentiasa menimpa anda samada ketika anda memegang amanah kepimpinan,ketika berkerja,belajar, bermain, berkeluarga hatta sehingga berehat sekalipun.

Kembali kita kepada sirah Nabawi, bagaimana kepayahan Nabi Muhammad SAW menyebarkan risalah Islam? Adakah nabi sekadar diejek atau dikeji sahaja? Sudah tentu jawapannya TIDAK! Kita tahu bahawa nabi menyampaikan risalah Islam selama 23 tahun di dua tanah mashyur iaitu Mekah dan Madinah. Di dalam fatrah tersebut, terlalu banyak masalah,halangan, serta cabaran yang telah dilalui oleh baginda dan para sahabat. Sudah tentu anda ingat bagaimana kisah Bilal yang dijemur ditengah panas dengan diletakkan batu di atas badannya, tetapi masih tidak berganjak apabila disuruh kaluar dari Islam. Tidakkah anda ingat bagaimana kepayahan orang-orang Islam yang ditindas dan dipulau ketika awal permulaan Islam? Dan tidakkah anda ingat bagaimanan Nabi Muhammad telah luka dan cedera berdarah ketika berdakwah ke Taif? Tidakkah anda ingat peristiwa kepala Nabi diletakkan dengan najis ketika beliau sedang sujud menhadap Tuhannya? Dan..dan…dan.. dan pelbagai lagi kisah yang anda tentu saja mengetahuinya. Adakah anda menghadapi masalah dan cabaran sekian rupa? Sudah pasti tidak! Jadi, apakah sebabnya anda mahu lari daripada cabaran yang datang menimpa anda bertali arus? Adakah sudah hebat cabaran yang anda hadapi? Cuba bayangkan sekiranya nabi hanya melarikan diri tanpa menghadapi cabaran,masalah dan dugaan dari orang-orang kafir tersebut. Mungkinkah risalah Islam akan berkembang hingga ke hari ini?Adakah kita dapat melihat perkembangan Islam yang kita anuti selama ini? Begitu besar pengorbanan baginda terhadap Islam….Apakah pengorbanan kita terhadapa Islam..Tiada atau sikit-sikit saja?
Syurga Allah

Sesungguhnya syurga Allah adalah untuk penegak agama Allah di muka bumi ini. Adakah kita termasuk dalam golongan tersebut? Jika ya, maka kita dari kalangan orang yang beruntung. Jika tidak, maka muhasabahlah segera dan pastikan anda tidak ketinggalan dalam menegakkan agama Allah.nak tak nak kita mesti melalui cabaran dan masalah yang dating. Allah jadikan jalan kehidupan setiap manusia ini berbeza-beza. Tetapi perlu diingat bahawa matlamat setiap insan adalah sama, untuk mendapatkan Redha Allah. Maka, laluilah setiap jalan itu dengan sebaik mungkin. Setiap masalah yang datang ada ganjaran yang Allah Taala berikan kepada hambanya.

Teringat zaman kanak-kanak dahulu, sekiranya murid-murid yang berjaya menjawab soalan yang diberikan oleh guru, maka hadiahnya adalah gula-gula. Paling tidak pun, 20sen sudah tentu di dalam genggaman. Di sini, soalan yang diberikan kepada murid boleh dianggap sebagai cabaran dan masalah. Manakala gula-gula atau 20sen yang diberi guru bolehlah dianggap ganjaran pahala kepada mereka yang berjaya menghadapi cabaran.Begitu juga Allah. Allah Maha Adil. Sudah tentu Allah tidak membiarkan hambaNya menghadapi cabaran dan masalah tanpa diberikan ganjaran diakhirnya.Ketahuilah bahawa ganjaran SYURGA adalah ganjaran yang diberikan oleh Allah khususnya kepada mereka yang telah bertungkus lumus mendepani masalah dalam menegakkan agama Allah. Nak ke tak nak?

Sabar..sabar dan terus sabar….

Sesungguhnya jalan ini tidak dapat dilalui oleh mereka-mereka yang tergopoh-gapah dan hanya mahukan ganjaran dalam masa yang singkat. Tetapi jalan ini hanya untuk orang-orang yang berjiwa besar dan tabah. Dalam menghadapi cabaran kehidupan, setiap Muslim dituntut untuk bersabar dan redha dengan segala ujian yang diharungi. Jalan ini amat panjang dan berliku-liku.Jangan lalai, jangan leka. Silap sedikit, maka kerugian pasti menjadi milik anda. Ingatlah bahawa jika anda sedang melalui jalan berliku yang penuh kedukaan ini dengan sabar, maka ganjarannya adalah kegembiraan selepas kematian. Tetapi jika anda gembira dengan kehidupan yang penuh maksiat ini, belum tentu anda akan gembira dengan kehidupan anda di akhir nanti…
Mudah-mudahan kita mampu untuk menempuh cabaran dan dugaan yang dilalui dan mudah-mudahan Allah menggolongkan kita dari golongan ‘Ashabul Maimanah’ seperti yang disebut dalam Surah Al-Balad.

Allahua’lam.

*pos ini untuk memujuk diri sendiri dan kawan-kawan seperjuangan..moga Allah tetapkan hati kita diatas jalan ini..sesungguhnya hatiku milikMu Ya Rabb
________________________________________________________________