Dec 31, 2007

Mahu Tapi Malu

Salam.

Hari ini bermula kembali detik 1 Januari. Tetapi bukan lagi tahun 2007. Tetapi 2008. Bertambah umur setahun mengikut kalendar Masihi. Yang paling penting dengan pertambahan tahun ini, hendaklah kita berfikir dan bermuhasabah sebentar. Apakah yang telah kita lakukan pada tahun 2007 lalu? Adakah anda berpuas hati dengan tahun lalu?
Apakah sumbangan yang telah anda berikan? Adakah ilmu anda bertambah? Adakah iman anda bertambah? Adakah ibadat anda bertambah? Adakah persahabatan anda kian mesra? Adakah cinta anda kepada nabi semakin bertambah? Yakinkah anda telah mendapat cintaNya? Adakah masa yang telah anda lalui anda manfaatkan dengan sebaiknya? Adakah pahala anda mengatasi dosa? Adakah kasih anda kepada keluarga kian bertambah? Adakah anda tahu bahawa bertambahnya masa maka kematian semakin hampir dengan anda? Adakah anda telah mendapat keredaan Allah Taala? Ya. Begitu banyak sekali persoalan yang perlu anda timbulkan dalam diri anda. Untuk apa? Muhasabah. Sebab apa? Supaya tahun 2008 ini anda dapat merancang segala aktiviti anda. Supaya hari-hari dalam tahun ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Supaya anda tidak menyesal seperti tahun-tahun yang telah berlalu. Menyesal tak? Kalau tak Alhamdulillah. Kalau menyesal, berubahlah sekarang. Masih ada lagi waktu. Allah kan baik….

Sambutan tahun baru diadakan di mana-mana sahaja. Dari solat hajat sehinggalah ke pesta bunga api dan konsert. Saya pernah sekali pergi ke majlis sambutan tahun baru. Seingat saya ketika itu saya berada di tingkatan 4. Sambutan diadakan di Alor Setar kerana ketika itu saya belajar di sana. Tujuannya bukanlah untuk bergembira sebaliknya untuk melihat suasana sambutan itu sahaja. Ambil pengalaman. Ada pengalaman barulah saya boleh ceritakan kepada anda. Ketika itu pelbagai acara diadakan. Begitu bersungguh sekali semua orang merayakan tahun baru. Habis sahaja segala sambutan, maka berakhir semangat baru mereka. Masing-masing kembali kepada fitrah semulajadi. Yang lalai terus lalai. Yang malas terus malas. Yang jahat terus menjadi jahat. Yang baik terus tertipu. Yang tidak baik terus ditipu. Pendek kata, tiada sedikit pun perasaan untuk berubah itu wujud dalam diri masing. Tambah malang lagi, pada setiap malam tahun baru, ada sahaja perlumbaan haram diadakan. Ada sahaja gadis kehilangan dara. Ada sahaja insan yang menemui ajal di atas litar lumba buatan sendiri. Sebab apa? Sebab mereka tidak menjiwai kedatangan tahun baru. Justeru, kita sebagai orang yang sedar dengan kelalaian dan kealpaan yang telah mereka lakukan marilah bersama-sama berusaha untuk mengubah segala kebejatan itu. 'Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu yang mengubah nasibnya sendiri'. Jadi apa peranan kita? Biarlah mereka berubah sendiri.


Ada orang kata kalau kita mahu tolong pun tetapi mereka tidak mahu berubah tak jadi juga. Bukan itu maksud saya.Itu alasan orang pemalas dan perasan baik saja. Bantulah mereka dengan cara memimpin mereka. Lama-lama berubahlah mereka. Bukannya jahat sangat mereka. Kita sahaja yang anggap mereka jahat. Mereka tak baik. Kita sahajalah yang betul. Kita sahajalah yang baik. Kita yang rasa diri kita baik ini pun banyak buat salah. Cuma tak mahu mengaku sahaja. Betul tak? Anda rasa anda baik tak? Perasan la tu..Ubahlah persepsi anda terhadap orang lain. Jangan nilai seseorang itu baik atau buruk selagi anda tidak membuat perkara ini bersama mereka. Makan, bermusafir dan tidur sekali dengan mereka. Tak percaya? Cubalah sendiri. Nanti anda akan tahu. Siapa baik, siapa tak.

Sebenarnya entry ini saya siapkan sementara menunggu menjadi musyrif. Apakah itu? Cari sendiri la. Takkan semua nak kena suap? Yang dah tahu tu senyap-senyap sajalah. Biar orang yang tak tahu itu cari sendiri. Berusahalah sikit. Akhirnya, selamat menyambut tahun baru Masihi 2008. Tapi perlu anda ingat, tahun baru Islam belum tiba lagi. Jadi masih ada lagi masa untuk berubah sebelum tahun baru Hijriah. Moga apa yang saya sempat coretkan ini menjadi renungan untuk kita bersama.

“Allahumma tub A’laiya Hatta Atuub”



Nota: Tajuk entry ini tiada kaitan dengan kandungan artikel ini. Harap maklum

Dec 30, 2007

Untukmu Hati 6

::Muhasabah::

Adakah anda Khusyu' di dalam solat? Atau sekadar solat untuk melepaskan tanggungjawab sebagai seorang Mukmin? Fikir-fikirkanlah..